Rabu, 25 November 2015

HAK WANITA BEKERJAYA

PENGENALAN
Kajian ini bertujuan untuk mengetahui sejauhmanakah kefahaman masyarakat dalam melaksanakan tanggunjawab nafkah isteri yang bekerja. Penulisan ini dimulakan dengan menghuraikan peranan wanita dalam institusi kekeluargaan dan mengimbangi tuntutan akademik dan kerjaya. Diikuti selepas itu dengan perbincangan mengenai sejauhmana nafkah wajib dilaksanakan oleh suami jika isterinya bekerja sedangkan pendapatan suami sudah cukup untuk menyara hidup mereka. Kajian kepustakaan dan kajian lapangan telah dilakukan bertujuan untuk meneliti, sejauhmana perlaksanaan nafkah terhadap  isteri bekerja diterimapakai dalam masyarakat Islam.

PENDAHULUAN
Islam sebagai agama yang diredhai Allah S.W.T merupakan satu cara hidup yang lengkap. Ia adalah suatu sistem yang mencakupi peraturan-peraturan secara menyeluruh serta undang-undang yang lengkap dalam semua urusan hidup manusia untuk kita terima dan mengamalkannya secara total.Islam meletakkan wanita pada tempat yang tinggi dan mulia iaitu sesuai dengan fitrahnya.
Wanita yang bekerjaya adalah insan yang sangat penting dan memainkan peranan dalam institusi kekeluargaan, komuniti dan agama. Kebanyakan wanita di Malaysia memiliki pendidikan dan terlibat di dalam pekerjaan.
Golongan isteri bekerjaya berperanan sebagai tulang belakang kepada suami untuk menambah pendapatan keluarga.  Tiada halangan budaya atau agama kepada kemajuan wanita kerana Islam membenarkan wanita keluar bekerja dan membina karier selagi tanggungjawab hakiki kepada keluarga tidak terabai.

LATAR BELAKANG KAJIAN

Kerja merupakan suatu yang diperlukan oleh manusia. Keperluan itu boleh jadi bermacam-macam, berkembang dan berubah. Seseorang bekerja kerana ada sesuatu yang hendak dicapainya dan berharap bahawa kerja yang dilakukannya akan membawanya kepada suatu keadaan yang lebih memuaskan daripada keadaan sebelumnya.

Realiti hari ini memaparkan bahawa wanita-wanita yang bergelar isteri kebanyakannya berkecimpung dalam dunia pekerjaan. Lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai kelayakan dalam bidang profesional seperti kedoktoran, kejuruteraan, kehakiman dan sebagainya. Sehubungan itu, Islam mengharuskan wanita keluar bekerja berpandukan pandangan ulama yang menegaskan bahwa harus bagi wanita yang tidak mempunyai sumber pendapatan sama ada dari pihak suami, kaum kerabatnya atau pun Baitulmal mencari pekerjaan untuk menyara kehidupan.

Dengan ini, isteri yang bekerja di luar rumah meyebabkan penyerahan dirinya terhadap suami terjejas. Sedangkan penyerahan diri isteri yang sempurna terhadap suami adalah syarat bagi isteri mendapat hak nafkah dari suami. Justeru adakah penyerahan diri isteri yang tidak sempurna (ihtibas naqis) kepada suami  menyebabkan suami masih diwajibkan menanggung nafkah isteri ataupun tidak. Adakah hak tersebut gugur sekiranya isteri keluar bekerja tanpa keizinan suami kerana perbuatan tersebut dianggap sebagai perbuatan nusyuz.

Justeru penentuan hukum diperlukan bagi menjawab segala persoalan yang timbul di atas. Mereka bersepakat menyatakan sekiranya pendapatan suami sudah mencukupi untuk membiayai perbelanjaan keluarga dan dia tidak membenarkan isteri keluar bekerja, maka haram kepada isteri mengingkari larangan tersebut dan dia berhak mendapat nafkah dari suaminya. Ini kerana di antara hak suami yang sewajarnya menjadi tanggungjawab isteri ialah mentaati suami dan penyerahan sempurna untuk suami sama ada di waktu siang atau malam.
Justeru penglibatan isteri dalam bidang kerjaya dan pekerjaan di luar rumah akan menjejaskan ruang dan masanya yang sepatutnya diperuntukkan bersama suami terutama pekerjaan yang boleh memberi kesan sampingan terhadap kesihatan dan keterampilannya.

SKOP / RESPONDEN KAJIAN
Terdiri daripada wanita  bekerjaya  yang telah berkahwin dan menyambung pelajaran.

LOKASI KAJIAN
1.       Fakulti Pengajian Islam UKM ( PBJJ )

PERMASALAHAN KAJIAN

Dalam meneruskan era penuh ketamadunan kini, wanita terpaksa berdepan dengan kemelut utama sama ada perlu bekerja atau menjadi suri rumah sepenuh masa. Andai tak bekerja, kemungkinan kehidupan tidak terjamin ketika suami tidak boleh diharapkan untuk menampung keperluan keluarga dan jika bekerja pula, bimbang terlucut hak sebagai isteri untuk dibiayai segala keperluan harian oleh suami.

Nafkah isteri dan anak-anak merupakan tanggungan suami tetapi masih ada kes suami dan bapa yang tidak menunaikan tanggungjawab menyebabkan berlakunya konflik kekeluargaan di kalangan wanita bekerjaya apabila suami tidak memberikan nafkah seperti penceraian, tekanan emosi, keterlibatan anak-anak dalam gejala sosial.

Masalah pengurusan masa yang sangat padat serta tidak diselarikan antara kuantiti dan kualiti masa disebabkan oleh kesibukan wanita dalam komitmen mereka pada kerjaya dan keluarga menyebabkan kurangnya kasih sayang dalam sesebuah keluarga.

Bagi wanita bekerja yang sudah berkeluarga dan mempunyai suami serta anak-anak, mereka mempunyai beban dan hambatan tugas yang lebih berat berbanding suami. Ini kerana sebelum seseorang wanita itu keluar dari rumah untuk bekerja, mereka lebih dahulu perlu menguruskan suami, anak-anak dan hal-hal lain yang berkaitan rumahtangganya. Namun, apabila mereka ingin keluar bekerja, mereka tetap perlu meninggalkan anak yang masih kecil untuk dijaga oleh pembantu rumah atau dihantar ke pusat asuhan kanak-kanak. Justeru itu, masalah yang banyak berlaku kini adalah pelbagai tragedi yang menimpa anak-anak ketika si anak terpaksa ditinggalkan bersama pengasuh.

OBJEKTIF KAJIAN
  1. Mengenalpasti kefahaman masyarakat tentang wanita dan kerjaya.
  2. Mengenalpasti hak nafkah wanita bekerja.
  3. Mengenalpasti hak keluarga bagi wanita bekerja.

PERSOALAN KAJIAN
Persoalan ini timbul ekoran daripada meningkatnya bilangan kaum wanita yang berkecimpung dalam pelbagai lapangan pekerjaan.
  1. Apakah pandangan masyarakat terhadap wanita yang berkerjaya?
  2. Sejauhmanakah tahap kefahaman wanita yang bekerja mengenai hak nafkah mereka?
  3. Bagaimanakah wanita berkerjaya mengimbangi peranan mereka terhadap keluarga dan kerjaya?
  4. Perlukah suami memberi nafkah kepada isteri sekiranya si suami telah memberi izin kepada isterinya untuk bekerja?
METODOLOGI KAJIAN
Kajian ini menggunakan metod campuran dalam proses mengumpulkan maklumat iaitu kajian kepustakaan dan kajian lapangan. Pada peringkat pertama, metod kajian kepustakaan (arm chair research) digunakan untuk mendapatkan maklumat tentang peranan wanita dalam mengimbangi kerjaya dan keluarga dan perkara yang berkaitan dengannya. Maklumat diperolehi daripada pelbagai buku, jurnal, tesis dan sebagainya. 
Manakala pada peringkat kedua, kajian lapangan (fieldwork research) dijalankan  di Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mendapatkan data daripada kakitangan wanita tentang tahap kefahaman mereka tentang hak wanita dan kerjaya. Kajian dijalankan dengan menggunakan instrumen temubual, seramai 12 orang responden diambil dengan menggunakan kaedah persampelan rawak berkelompok yang akan mewakili populasi wanita yang berkerjaya di UKM.

SIGNIFIKASI KAJIAN
Kajian ini penting untuk mendedahkan maklumat tentang keperluan wanita mengimbangi antara kerjaya dan keluarga dan mengetahui serta menyedari hakhak mereka supaya dapat menangani masalah dalam institusi kekeluargaan yang berlaku pengabaian kepada wanita apabila terdapat segelintir suami tidak menunaikan tanggungjawab dalam memberikan nafkah serta menyerahkan semua urusan rumahtangga termasuk perbelanjaan harian kepada isteri.
Kajian ini juga penting supaya masyarakat dapat mengenalpasti emosi yang membawa kepada gangguan dalam hubungan kekeluargaan serta bertindak untuk mengatasinya agar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih selesa.

KONSEP DAN HUKUM WANITA BEKERJA
Wanita diiktiraf sebagai makhluk Allah SWT dan dimuliakan sama seperti lelaki. Islam memandang wanita sebagai makhluk duniawi dan mempunyai    roh       yang    sama    dengan lelaki  tetapi   berbeza            keadaan          fizikal  daripada lelaki.
Wanita keluar bekerja di luar rumah merupakan suatu keperluan masyarakat berdasarkan keadaan tertentu pada masa kini. Islam tidak melarang perkara ini sepenuhnya dan tidak pula menyuruhnya. Apabila wanita keluar bekerja di luar, mereka tidak boleh mengabaikan tanggungjawab asasi dalam rumah tangga dan anak-anaknya, kerana ia merupakan kefarduan yang ditetapkan Islam ke atas wanita.

Menurut Dr. Yusof al-Qaradawi (1995), seseorang tidak boleh mengharamkan sesuatu perkara tanpa nas syarak yang benar-benar sahih serta jelas hukumnya, ini bermakna pekerjaan wanita di luar rumah itu tidak boleh dihukumkan haram. Maka, hukum wanita bekerja pada asasnya adalah harus, kerana asal kepada sesuatu perkara atau tindakan itu adalah harus. Kadang kala ia menjadi harus dan kadang-kadang pula ia akan menjadi wajib, terutamanya jika di dalam keadaan yang benar-benar memerlukan wanita itu bekerja. Antaranya ialah janda atau wanita-wanita yang diceraikan dalam keadaan tidak berharta dan sebatang kara, akan tetapi ia mampu untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang dapat menahannya daripada meminta-minta.

Menurut Ibn Qayyim al-Dimasyqi (1953) pula, wanita dibenarkan menceburi pelbagai bidang pekerjaan, tetapi disyaratkan supaya kegiatan dan perkerjaan yang dilakukan hendaklah bersesuaian dengan fitrah kejadian wanita dan tidak bertentangan dengan hukum syarak, iaitu tidak mendatangkan kemudharatan, fitnah dan bencana kepada orang lain.

Oleh itu, wanita Islam yang berkerjaya hendaklah memahami dengan jelas akan kedudukan mereka di dalam Islam, melaksanakan serta mengutamakan tanggungjawab asasi kepada Allah SWT dan keluarga, memahami konsep pekerjaan menurut Islam, dan berusaha memenuhi tuntutan, batas-batas syarak dan adab ketika bekerja. Hal ini amat penting bagi wanita berkerjaya, agar mereka tidak menyimpang dari landasan agama dengan melaksanakan hak dan kewajipan seperti yang dituntut oleh agama Islam.

HAK NAFKAH WANITA BEKERJA
Berdasarkan temubual yang kami kendalikan; kami boleh putuskan; daripada dua belas rumahtangga, hanya dua dibiayai sepenuhnya oleh suami; dua dibiayai sebahagiannya oleh suami dan sebahagiannya oleh isteri; dua dibiayai kebanyakannya oleh isteri dengan bantuan suami dan tiga kes pula dibiayai sepenuhnya oleh isteri; sama ada si suami tidak bekerja atau suami bekerja tetapi tidak membantu dalam perbelanjaan keperluan rumahtangga sementara tiga daripada mereka pula tidak menjadikan pemberian nafkah sebagai rutin bulanan di dalam kehidupan rumahtangga mereka kerana mengikut keperluan semasa.

Realitinya, sangat ramai yang telah maklum; tanggungjawab membiayai keperluan rumahtangga menjadi tanggungjawab wajib seorang suami, tanpa sebarang pengecualian kecuali kes-kes dharurat yang munasabah menurut syarak. Biarpun begitu, tidak salah jika si isteri membantu.
Nafkah merupakan hak isteri yang dipertanggunjawabkan ke atas suami, sama ada ia berbentuk wang ringgit, makanan, tempat tinggal  dan sebagainya yang dianggap sebagai keperluan bagi seorang isteri. Pemberian nafkah seolah-olah sebagai pembalasan kepada isteri yang telah menjadi milik suami melalui akad yang sah.

Sesungguhnya satu perkara yang memang telah diketahui umum bahawa seorang suami adalah wajib menanggung segala perbelanjaan isterinya walaupun isterinya bekerja.
Islam malah agama lain juga menetapkan bahawa suami adalah sebagai ketua keluarga. Apabila disebut sebagai ketua maka jelas sudah bahawa seorang suami bertanggungjawab atas segalanya. Makan minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan segala yang terangkum sebagai satu keperluan bagi isteri.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” – surah an-Nisa’ ayat 34.

Sekurang-kurangnya jika wanita bekerja, kebergantungan kepada suami bukan lagi 100%. Bukan bermaksud suami tidak diperlukan tetapi wanita akan lebih mudah berdikari dan tidak cepat melatah jika ditimpa apa juga ujian dan dugaan.

HAK KELUARGA BAGI WANITA BEKERJA
Bedasarkan hasil temubual yang kami jalankan, kebanyakan responden bersetuju dengan pernyataan yang diajukan seperti mereka sempat meluangkan masa bersama keluarga walaupun setelah penat bekerja, mereka mengutamakan tanggungjawab kepada keluarga daripada kerjaya, mereka tidak membawa pulang tugasan ke rumah, mereka melaksanakan tugasan rumah sendiri tanpa bantuan pembantu rumah, mereka memanfaatkan waktu cuti bersama keluarga, mereka tidak pernah bertengkar dengan suami tentang masalah kerja dan kerjaya mereka tidak mengganggu hubungan kekeluargaan dan rumahtangga.

Dapatan kajian juga menggambarkan bahawa responden mempunyai sikap tolong-menolong dalam meningkatkan taraf hidup keluarga meskipun terdapat sebahagian daripada suami mereka telah mempunyai pekerjaan. Kemungkinan ia disebabkan desakan taraf hidup yang semakin tinggi dan mempunyai komitmen yang banyak.

Keseimbangan antara kerjaya dan rumahtangga adalah penting dalam misi dan usaha seorang wanita berstatus isteri mengekalkan keharmonian rumahtangganya. Maksud keseimbangan bukanlah sama rata atau sama banyak masa diperuntukan untuk kedua-duanya tetapi keseimbangan yang diperlukan ialah memberikan seluruh perhatian dan penumpuan kepada kerjaya ketika waktu bekerja dan ketika berada di rumah pula, berikan seluruh perhatian dan penumpuan kepada kehendak pasangan dan anak-anak.

CADANGAN
Hidup ini tidak dapat lari daripada melakukan pengorbanan. Sebaiknya, korbankanlah sedikit masa rehat tetapi jangan sesekali korbankan masa penting bersama pasangan dan anak-anak.
Seandainya dalam kesibukan bekerja, kita masih mampu mengambil berat dan memberikan perhatian kepada pasangan dan anak-anak, yakinlah kita takkan menghadapi masalah dalam kerjaya kerana pasangan dan anakanak akan memahami tika kita terlalu sibuk hingga tidak dapat meluangkan masa seperti biasa buat sementara. Namun, seandainya kita memang jenis kurang peduli daripada awal, mana mungkin pasangan dan anak-anak akan memahaminya?

Praktikkan juga untuk meminggirkan emosi secara professional. Maksudnya, ketika penumpuan perlu kepada kerjaya sedangkan ada masalah dalam rumahtangga, usahakan agar emosi tidak mengganggu rutin pekerjaan. Jika gagal, kerja mungkin tertangguh dan boleh menyebabkan kerjaya bermasalah. Jangan mudah mengharapkan simpati orang lain kerana sekali mungkin boleh diterima tapi jika selalu? Untuk menguasai emosi, banyakkan zikir mengingati Allah dan berdoa mohon diberikan kekuatan minda dan kelapangan fikiran. Urusan akan dipermudahkan jika berusaha ke arah tersebut.

KESIMPULAN
Kefahaman mengenai hak wanita bekerjaya ini amat penting bagi memastikan hak nafkah wanita tidak diabaikan dan memastikan peranan hakiki mereka di dalam rumahtangga tidak melanggar batasan yang telah ditetapkan Islam serta memastikan kecemerlangan sesebuah institusi kekeluargaan, organisasi, masyarakat dan Negara dapat dicapai.
Oleh kerana kajian ini diperolehi daripada sampel yang kecil, maka kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh berhubung permasalahan hak wanita bekerjaya perlu dijalankan. Walaubagaimanapun, secara umumnya kajian ini diharap dapat membuka jalan kepada kajiankajian yang selanjutnya dan juga dapat menambahkan pemahaman masyarakat mengenai hak wanita bekerjaya.

RUJUKAN
al-Qardhawi, Yusuf. 1995. Fatwa Masa Kini. Terj. Zaidi Jalil, Engku Muhammad Tajuddin & Norman. Kuala Lumpur: Penerbit Pustaka Salam Sdn. Bhd.
Nurul Farahain Ismail dan Mohd Akil Muhamed Ali  Kajian Awal Tahap Kefahaman dan Pengamalan Terhadap BatasBatas Syarak dikalangan Wanita Bekerjaya Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia
Suzana Ghazali. 1974. Dilema Wanita Bekerjaya. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Jurnal Fiqh, No 7. 2010. Nafkah Isteri Bekerja.
Jurnal Of Governance & Development. 2010. Peranan Wanita Dalam Pembangunan Keluarga dari Perspektif Fi Zilal alQuran
Jurnal alHikmah 4. 2012. Kefahaman Terhadap Kedudukan Wanita Bekerjaya Menurut Islam
Kamus Dewan Edisi Baru. 1993. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Kamus al-Jadid-Arab Melayu. 1993. Kuala Lumpur : Penerbitan Seri Kota