BERILAH MEREKA HAK UNTUK HIDUP...
Banyak yang telah dilaporkan, entah berapa banyak pula lagi yang tidak dilaporkan. Ada yang ditemui dalam bentuk tidak cukup sifat iaitu dilahirkan secara paksa dan ada yang ditemui dalam keadaan cukup sempurna dan comel. Besar kemungkinan ia masih hidup ketika dibuang. Ia pasti akan meruntun jiwa siapa sahaja yang melihatnya sambil memikirkan siapakah yang tergamak memperlakukan bayi yang tidak berdosa itu sedemikian rupa.
Dunia ini pernah dicemarkan oleh sejarah hitam dalam tamadun manusia disebabkan ketiadaan aqidah dalam kehidupan. Masyarakat ketika itu hilang sifat kemanusiaan sehingga sanggup membunuh dengan menanam anak-anak terutama anak-anak perempuan hidup-hidup kononnya mempertahankan maruah diri, keluarga dan kabilah.
Amalan jahiliyah tersebut kini berulang lagi malah lebih dahsyat di mana sesetengah bayi dibuang di merata-rata tempat kerana malu kepada masyarakat. Tempat-tempat pembuangan ialah di belakang rumah, tepi jalan, tepi hospital, masjid, tepi sungai, kedai, tempat pembuangan sampah, hentian bas, tandas dan lain-lain lagi.
Negara kita yang semakin berkembang pesat sama ada dari segi ekonomi , politik ataupun sosial yang sedang membangun menuju ke arah wawasan 2020. Namun begitu, di sebalik kegemilangan ini, masyarakat Malaysia masih dihantui satu penyakit sosial yang sudah menjadi buah mulut rakyat malaysia iaitu gejala pembuangan bayi.Kes ini boleh dikatakan hampir setiap hari berlaku dan boleh kita ketahui melalui akhbar harian,majalah,media massa dan radio. Tindakan manusia yang tidak bertanggungjawab yang telah membuang bayi adalah untuk menyembunyikan perbuatan jahat mereka.
Kabinet memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat.
Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.
Sebelum ini, semua kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kebanyakan kes pembuangan bayi berlaku disebabkan oleh faktor-faktor utama seperti berikut:
1. Kekurangan didikan agama: ia menyebabkan mereka hilang haluan dalam kehidupan lalu, terlibat dalam gejala negatif seperti pergaulan bebas.
2. Pengaruh rakan sebaya: rakan-rakan yang negatif mempengaruhi remaja untuk melakukan perkara di luar batasan agama seperti disko, menghisap dadah dan melakukan pergaulan bebas.
2. Pengaruh rakan sebaya: rakan-rakan yang negatif mempengaruhi remaja untuk melakukan perkara di luar batasan agama seperti disko, menghisap dadah dan melakukan pergaulan bebas.
3. Sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum: oleh kerana masyarakat seringkali akan menghina mereka yang telah terlanjur dan mempunyai anak luar nikah, remaja tersebut akan mengambil jalan mudah dengan membuangkan bayinya.
Setiap bayi yang dilahirkan mempunyai hak untuk hidup. Oleh itu, semua masyarakat haruslah bekerjasama bergabung tenaga bagi membanteras dan mencegah supaya gejala pembuangan bayi ini tidak menular ke tahap yang lebih serius. Tindakan bersepadu Angkatan Relawan Rakyat (RELA), Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dan Rukun Tetangga (RT) perlu menangani pergaulan bebas dalam kalangan remaja dengan tindakan awal kerana “mencegah itu lebih baik daripada mengubati”. Masyarakat perlu sedar bahawa bayi ini merupakan Anugerah Allah SWT yang diamanahkan kepada hambanya untuk bertanggungjawab dan menjaga malah sebaliknya bagi pasangan kekasih yang telah terlanjur,bayi yang akan dilahirkan itu menjadi satu beban kerana mereka tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab diusia yang masih muda iaitu usia remaja.
Kesimpulannya, Undang-undang Syariah wajib diperkasakan bagi membendung gejala pembuangan bayi daripada terus berlaku. Sehubungan itu, bagi merealisasikan perkara ini kita sebagai umat Islam harus kembali kepada Al-Quran dan Sunnah yang telah terbukti berkesan dalam menangani permasalahan seperti ini..
Persoalannya, apakah punca yang telah menyebabkan masalah gejala pembuangan bayi ini semakin meningkat?????
Dimanakah Hak Mereka Untuk Hidup?????